Penerbitan Inspektor Sahab

Keluang Man merupakan sebuah cerita yang tidak mengamalkan konsep stereotaip seperti cerita adiwira yang sedia ada. Watak adiwiranya yang bersahaja dan tidak menggunakan kuasa ajaib selain daripada panduan naluri dan kejujuran telah memukau penonton. Pengarah animasinya, Kamn Ismail yang sebelum itu pernah mengarah siri animasi Usop Sontorian, bersama-sama 37 orang tenaga produksi tempatan yang kurang dari segi pengalaman dan pengetahuan khusus dalam bidang animasi.

Raja Zaharuddin Shah Raja Chik, salah seorang bekas animator Usop Sontorian telah menghasilkan rekaan watak animasi dan lakaran ceritanya yang pertama. Olahan ceritanya dan 13 sinopsis awal siri ini dihasilkan dalam masa seminggu oleh Kamn hasil bantuan bekas penyelaras animator Usop Sontorian, Wan Ayumi Wan Yusof. Sebelum memulakan penerbitan, satu kajian telah dilakukan berkaitan dengan suasana kehidupan dan perwatakan "Tetamu" di Taman Bahagia Tampoi.

Walaupun aplikasi yang digunakan agak ketinggalan, tetapi jalan cerita dan konsep penceritaannya unik serta mengangkat martabat pesakit mental. Jalan ceritanya juga mampu memberi kepuasan kepada penonton serta mudah dihayati. Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. Kesukaran menghasilkan gerak animasi dan gerak kamera dalam animasi yang lebih menarik telah menyebabkan Encik Kamn mencuba kaedah gabungan tersebut. Walaupun hasilnya tidak begitu kemas dan kadangkala menampakkan keganjilan dalam sesetengah babak, tenaga pekerjanya wajar mendapat pujian atas kesungguhan dan semangat dalam menghasilkannya. Episod pertamanya yang bertajuk "Pengenalan Keluang Man" berjaya dihasilkan dalam tempoh dua bulan.

Krisis ekonomi pada 1997 dan 1998 memberi kesan yang agak ketara kepada seluruh warga penerbitan Keluang Man. Siri ini terpaksa dihentikan seketika dan para karyawannya berhijrah ke syarikat animasi yang lain bagi meneruskan kesinambungan dalam kerjaya masing-masing. Namun, penerbitan Keluang Man diteruskan pada 2000 dan Kamn meninggalkan siri itu pada 2001 dan tugas sebagai pengarah digantikan oleh Mohd Ariffin Jamal sehingga 2003 dan Arjuna Ibnu Tapa sehingga 2005.